Sponsor Ads

Monday, September 20, 2010

Pengalamanku menyusukan susu ibu (My breastfeeding experience)


Kebaikan penyusuan susu ibu dari pengalamanku.. Untukmu Anakku, Sa’id Qutb


Terkenang setahun yang lepas, ketika aku melahirkan Sa’id, aku rasa sangat bahagia walaupun bertarung nyawa untuk melahirkannya, aku redha. Sehari suntuk aku menahan kesakitan yang amat sangat. Alhamdulillah akhirnya terbalas juga segala kesakitan itu apabila melihat matanya yang begitu besar melihatku. Sa’id tidak menangis pun sewaktu dilahirkan hanya matanya yang bulat sahaja terkebil-kebil melihat alam baru. “Bulatnya mata, pandainya tengok ibu dia”, terdengar olehku bisikan dari Nurse di sebalik tabir. Ahh bahagianya rasa melihat anakku sihat dan selamat. Lagi bahagia rasanya bila aku sendiri yang menyusukannya. Orang kata, susu ibu 7 kali ganda lagi bagus dan baik daripada susu formula. Manakan sama susu yang Allah buat dengan susu yang manusia buat, ibaratnya seperti barang asli dengan barang yang tidak asli. Dan aku nekad untuk menyusukan Sa’id sepenuh masa memandangkan aku surirumah dan hanya berniaga kecil-kecilan di rumah sahaja.


Sekarang Sa’id dah setahun sebulan. Begitu cepat masa berlalu, sedar tak sedar Sa’id dah pandai berjalan dan menendang bola. “Siapa dulu yang kat dalam perut tendang-tendang Ibu?, kejap nampak tapak tangan kejap nampak tapak kaki..hahaha” tanyaku kepada anakku Sa’id. Kini setiap malam pasti ada kaki dan bontotnya singgah di kepalaku, di mukaku mengejutkan aku untuk menyusu. Mudahnya aku rasa sebab aku tidak perlu bangun untuk membuat susu hanya dengan berbaring sahaja Sa’id dapat menghisap susu. Sa’id akan menghisap susu apabila lapar dan akan berhenti sesudah kenyang. Ini dapat mengelakkan risiko bayi terlebih minum kerana susu ibu hanya akan mengalir apabila bayi menghisap sahaja. Tiba-tiba “Errrkkk!!!” kuatnya Sa’id sendawa kekenyangan. Gelakku sendirian, dalam waktu yang sama dihatiku puas kerana dapat menyusukan Sa’id sehingga kenyang. Alhamdulillah, senang dan mudah kerjaku.


Bila teringat kembali perkembangan Sa’id, dah agak lama Sa’id tidak demam dan sakit, akhir sekali ketika Sa’id berusia 6 bulan itupun disebabkan terima imunisasi atau suntikan. Agaknya mungkin sebab antibodinya kuat kerana salah satu kebaikan susu ibu ini dapat menguatkan antibodi bayi. Melalui pembacaanku, salah satu dari kebaikan penyusuan susu ibu, tubuh bayi dapat membentuk antibodinya sendiri bagi melawan jangkitan penyakit. Sa’id juga tidak sembelit dan meragam kembung perut, dan aku tidak perlu susah-susah memikirkan susu apa yang dapat disesuaikan dengan perutnya. Dalam erti kata lain aku dapat menjimatkan duitku dari membeli susu formula yang agak mahal. Susu ibu semestinya percuma sahaja.


Susu ibu adalah pilihan yang terbaik bagi memenuhi keperluan bayi bermula dari saat kelahiran mereka. Malahan bukan sahaja baik untuk bayi tetapi baik untuk ibu juga kerana melalui penyusuan susu ibu, dapat membantu ibu mengembalikan bentuk tubuh badan kepada keadaan asal sebelum mengandung. Aku dapat merasakan berat badanku kini telah kembali sediakala. Sewaktu sebelum mengandungkan Sa’id beratku adalah 48kg, ketika mengandungkan Sa’id beratku naik kepada 66kg dan kini Alhamdulillah beratku seimbang iaitu 50kg walaupun aku banyak makan supaya dapat memproses banyak susu untuk Sa’id. Terima kasih Sa’id kerana menguruskan badan dengan mengambil lemak-lemak di badan ibu ini.


Sehingga ke hari ini, saat ini Sa’id masih lagi menyusu susu aku, walaupun aku rasa susu aku tidak melimpah ruah seperti dahulu namun aku percaya ianya cukup untuk anakku dan aku bersyukur kehadrat Ilahi kerananya. Seperti yang aku tahu, selagi bayi menghisap susu ibu, selagi itulah otak akan menyampaikan arahan untuk kilang susu terus beroperasi. Dengan sebab inilah, aku begitu yakin untuk menyusukan Sa’id berterusan sehingga dia berusia dua tahun nanti kerana pengeluaran susu ibu akan diproses berterusan dengan permintaan dan keperluan bayi.


Setiap ibu pasti inginkan yang terbaik untuk anak-anaknya, begitu jugalah denganku. Pada pandanganku penyusuan susu ibu ini memberikan seribu kebaikan dan tiada tolok tandingannya dengan susu formula. Bagiku khasiat susu ibu terlalu banyak kebaikannya dan salah satunya lagi ia dapat meningkatkan tahap kecerdasan fizikal dan mental anak-anak kita. “Sa’id, Ibu inginkan yang terbaik untukmu, jadilah anak yang soleh akhlakmu, sihat tubuh badanmu dan bijak akalmu, InsyaAllah”. Monologku sendirian.

No comments:

My class chocolate